KPWKM disaran lebih holistik perkukuh nilai kekeluargaan
- Suara Keadilan

- Oct 15
- 1 min read

Kekuatan sesebuah bangsa tidak hanya bergantung kepada kestabilan politik atau kekukuhan ekonomi semata-mata, tetapi berakar daripada institusi keluarga yang teguh berasaskan kasih sayang, adab dan nilai murni.
Ketua Biro Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Nurhayati Umor (gambar) menerusi satu perkongsian di media sosial menzahirkan kebimbangan terhadap perubahan dunia yang begitu pantas sehingga menghakis nilai empati dan adab dalam masyarakat.
"Dunia hari ini semakin bising dengan kata-kata, tetapi semakin sunyi dengan empati. Kita lupa bahawa akar segala nilai bermula dari rumah," katanya dalam satu perkongsian di media sosial.
Nurhayati yang juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Selangor sementara itu menegaskan, keluarga bukan sekadar institusi sosial, tetapi merupakan asas pembentukan sahsiah rakyat serta kekuatan jiwa bangsa.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memainkan peranan lebih holistik dalam memperkukuh nilai kekeluargaan dan pembangunan insan yang semakin terhakis.
"KPWKM menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan dasar berkaitan keluarga, keibubapaan, perlindungan kanak-kanak serta pembangunan wanita — semua ini membentuk akhlak dan jati diri individu sejak usia muda.
"Kementerian ini tidak boleh berdiam diri. Sebaliknya perlu bersuara, bertindak dan membuat teguran nasihat apabila nilai keluarga semakin tergugat," tegasnya menerusi perkongsian tersebut.









Comments