KPN pandang serius percubaan cetus provokasi 3R di media sosial
- Suara Keadilan
- Apr 3
- 1 min read

Pejabat Menteri Perpaduan Negara memandang berat tindakan pihak tertentu yang cuba penyebaran kenyataan berunsur rasis dan provokatif di platform media sosial.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menyatakan pendirian itu susulan kenyataan seorang pengguna media sosial yang didakwa membuat kenyataan sensitif berkaitan isu kuil di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sehubungan itu tambahnya, satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya siasatan serta tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap individu itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kami berpegang teguh kepada prinsip perpaduan nasional dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Media melaporkan, dua hantaran di platform X oleh pengguna @AmirRidhwann pada 5 dan 26 Mac dikesan mengandungi unsur provokasi dan berbaur perkauman terhadap masyarakat India. Namun, semakan mendapati hantaran tersebut telah dipadam.
Sementara itu Aaron menegaskan bahawa kementeriannya komited memastikan keharmonian serta perpaduan rakyat terus terpelihara,.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk lebih beretika dalam penggunaan media sosial dan menolak sebarang bentuk ekstremisme, fitnah serta provokasi yang boleh mengancam keselamatan negara.
"Saya ingin mengingatkan semua pihak agar lebih beretika dalam penggunaan media sosial serta mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama," katanya.
תגובות