KPM umum insentif pengurangan kadar sewaan kantin 50%
- Azuan Ab Rahman

- Jun 10
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan insentif pengurangan kadar sewaan kantin sebanyak 50 peratus bagi sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementerian itu.
KPM dalam kenyataannya memaklumkan, insentif yang diberikan bagi tempoh enam bulan itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian meringankan beban kos operasi yang ditanggung pengusaha kantin.
"Inisiatif ini bertujuan memastikan pengusaha kantin terus berupaya menawarkan makanan berkualiti kepada murid sekolah dalam keadaan kos sara hidup dan harga bahan mentah yang masih mencabar.
"Ia sekali gus memastikan harga makanan berpatutan dapat terus dikekalkan," kata kementerian itu.
KPM turut menegaskan bahawa langkah berkenaan selaras dengan usaha kerajaan untuk menyokong kebajikan warga pendidikan serta memastikan kelangsungan perkhidmatan kantin di seluruh negara.
Menurut kementerian itu, insentif tersebut diharap dapat membantu pengusaha kantin menyediakan makanan berkualiti kepada murid dan warga sekolah, khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan bekalan global ketika ini.




Comments