
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Dalam satu kenyataan sebagai mengulas insiden kejadian seorang pelajar kolej vokasional di Sabah ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada Jumaat, KPM berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama penuh dalam siasatan kes tersebut.
"KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, pelajar Kolej Vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia pada Jumaat.
"Kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM bersedia memberi kerjasama penuh," kata KPM.
KPM melalui kenyataan sama berkata, pihaknya juga telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan termasuk sokongan psikososial kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej.
Terdahulu media melaporkan mangsa, Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada 6.50 pagi.
Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dalam program Bioteknologi itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad dilapor berkata pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.
Beliau berkata susulan itu, 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Comments