Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan menjadi cekap dan berupaya menyediakan kurikulum terbaik kepada pelajar sekiranya tidak mendengar kritikan daripada guru dan ibu bapa.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kritikan daripada bawah amat penting untuk memastikan dasar atau pelaksanaan yang dibuat benar benar memenuhi kehendak semasa atau menangani masalah yang timbul.
"Masyarakat keseluruhannya melihat isu pendidikan dekat dengan mereka. Sebab itu perkembangan di Kementerian Pendidikan menyentuh perasaan dan menginggung kehidupan, sama ada memberi keyakinan masa hadapan atau tidak
"Jadi sebab itu bila saya rangka Script/Madani itu saya beri tumpuan yang besar kepada pendidikan.
"Saya ada 6 anak ke sekolah, sekarang cucu 9 orang. Kita dapat juga pandangan mereka. Kemudian guru guru. Saya katakan saya bernasib baik kerana dilatih guru guru yang cekal amanah dan bertanggungjawab dan berdedikasi, sama ada Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap atau Sekolah Kebangssan Cherok Tun Kun, Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Universiti Malaya
"Semua pengalaman ini yang mencorakkan selain ibu bapa adalah guru guru. Cadangan baru, cadangan balas, teguran dan kritikan.
"Kalau ada mentaliti sombong dan angkuh sebagaimana pimpinan negara ini, di mana guru tak boleh tegur atau kritik, ini akan menyebabkan ada kekangan terhadap kebebasan berfikir. Tidak mungkin kita dapat merancang dengan baik," katanya dalam siaran media malam tadi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menceritakan sedikit pengalaman beliau mengemudi Kementerian Pendidikan tiga dekad lalu.
Katanya, beliau menghadiri kursus guru guru bukan sebagai perasmi majlis atau aktiviti tetapi turut mendengar keluh kesah guru di peringkat lapangan.
"Saya ingat pada peringkat awal, ramai guru kelulusan lama tingkatan 5, maka kita setelah dengar mereka tak mungkin kekal tahap lama dan kita wujudkan diploma khas, beri mereka peluang untuk latihan khusus meningkatkan kelulusan
"Apa kelemahan kita (sekarang), tidak ada keupayaan mendengar pandangan kritis," katanya.
Oleh itu, Anwar mahu rakyat berubah dalam Pilihan Raya Umum ke 15 untuk kerajaan Pakatan Harapan kelak merombak dasar di kementerian agar berlaku komunikasi dua hala antara kementerian dan guru serta ibu bapa.
"Jadi saya menjelaskan dasar ini, dan kita doakan kalau ada perubahan sistem, hal ini dirombak. Sistem ini tidak sedia mendengar hujah balas dari guru di lapangan.
"Dengarlah suara guru, selain itu bapa dan pelajar itu sendiri," katanya lagi.
コメント