Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan audit teknikal ke atas Sistem Pengurusan Identiti (idMe) dan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) yang sering mengalami gangguan teknikal sehingga menyukarkan tugas guru-guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tiada kompromi akan diberikan terhadap syarikat pelaksana sistem berkenaan sekiranya berlaku sebarang pelanggaran terma dan syarat yang telah ditetapkan.
Ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam, beliau mengakui kementerian menyedari terdapat gangguan capaian pada kedua-dua sistem itu dan mengesan gangguan mula berlaku pada 19 Jan lepas disebabkan isu teknikal dan penggunaan sistem.
"Isu tersebut telah diselesaikan pada 11 Feb 2023. Prestasi sistem terus dipantau bagi memastikan ia sentiasa beroperasi dengan baik bagi meminimumkan gangguan capaian.
"KPM telah mengenal pasti punca masalah kepada keseluruhan sistem ini dengan mengambil kira pengurusan sistem secara keseluruhan serta kompetensi personel bagi memantapkan lagi pelaksanaan sistem tersebut," katanya.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu sebelumnya menjawab soalan Ahli Parlimen Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin tahu sama ada KPM akan melakukan teknikal audit ke atas idMe dan MOEIS yang sering mengalami gangguan teknikal sehingga menyukarkan tugas guru-guru.
Mengulas mengenai cadangan audit tersebut, beliau menjelaskan kementerian dipimpinnya akan bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) bagi pelaksanaan audit teknikal itu.
"Hasil audit ini bagi menambah baik sistem sedia ada, serta perancangan sistem KPM yang akan datang. Kita jangkakan audit ini akan dilaksanakan pada suku kedua 2023," katanya.
Fadhlina sementara itu menegaskan bahawa pihaknya tidak bercadang menghentikan atau memansuhkan idMe dan MOEIS.
Malah semua pihak akan diberi masa mencukupi untuk menyemak dan menambah baik kelemahan pada sistem tersebut.
"Kementerian Pendidikan (KPM) komited menambah baik sistem berkenan kerana masih ada kepentingan untuk mengurangkan beban guru," jelasnya.
Comentários