KPM terima peruntukan tertinggi RM69 bilion, Bantuan Awal Persekolahan naik RM200


Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan tertinggi apabila Belanjawan 2027 menyediakan hampir RM69 bilion dengan Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata peningkatan bantuan itu membolehkan keluarga dengan empat orang anak menerima RM800 bagi persiapan sesi persekolahan 2027.
"Seramai 5.3 juta murid layak menerima Bantuan Awal dengan peruntukan RM1 bilion," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Tahun ini KPM menerima peruntukan RM66.2 bilion.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan itu akan disalurkan di sekolah bagi membolehkan ibu bapa hadir dan bertemu guru untuk bersama-sama memantau perkembangan akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak.
Dalam usaha meningkatkan kualiti prasarana pendidikan, kata beliau kerajaan turut menggandakan peruntukan bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah kepada RM2 bilion berbanding RM1 bilion sebelum ini.
Daripada jumlah itu, jelas beliau, sejumlah RM900 juta diperuntukkan kepada sekolah kebangsaan, RM100 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan RM50 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Tamil.
Sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula menerima peruntukan RM200 juta termasuk bagi memperluas bantuan kepada keperluan operasi institusi berkenaan, katanya.
Selain itu, Anwar mengumumkan hampir RM1.3 bilion disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak.
Kerajaan juga menjangkakan pembinaan 3,500 bilik darjah tambahan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) siap menjelang akhir tahun ini bagi menampung kemasukan hampir 500,000 murid Tahun Satu pada 2027, termasuk lebih 70,000 kanak-kanak berusia enam tahun.
Beberapa projek pembinaan sekolah baharu, bangunan prasekolah dan kemudahan pendidikan turut dilaksanakan termasuk di SK Seri Chemor di Ipoh, Perak; Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang, Selangor; pembinaan gantian penuh SJKT Ladang Pamol di Kluang, Johor; SJKC Bandar Mahkota Cheras; serta bangunan prasekolah di SK Bulu Silou, Keningau, Sabah.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan menambah baik Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah bagi membolehkan sumbangan sukarela ibu bapa, alumni dan masyarakat digunakan untuk operasi sekolah, pembaikan kemudahan, pembelian peralatan serta program murid.
Sumbangan tunai kepada tabung itu layak mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat, ujar beliau.
Dalam aspek kebajikan murid, tambah beliau, kerajaan menyediakan RM870 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan yang dijangka memanfaatkan lebih 800,000 murid.
Pengambilan pembantu guru juga diperluas ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru supaya mereka dapat memberikan tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran.
Bagi pelajar Tingkatan Enam, kerajaan bersetuju menyediakan elaun sara hidup RM2,500, menyamai kadar elaun pelajar matrikulasi dan dijangka memanfaatkan 90,000 pelajar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang menyeluruh bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dengan tumpuan kepada autonomi universiti, kebebasan akademik dan hak mahasiswa.
"Berkuat kuasa serta-merta, semua prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman telah dihentikan," kata Anwar.
Perdana Menteri mengumumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima peruntukan RM19.1 bilion termasuk RM800 juta bagi menambah baik prasarana seperti bilik kuliah dan kediaman mahasiswa serta menggantikan peralatan usang.
Bagi meringankan beban peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan bersetuju menangguhkan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan sepanjang 2027, katanya.
Peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50 manakala peminjam tanpa tunggakan yang membuat bayaran secara teratur layak menerima diskaun 10 peratus, kata beliau.
"Langkah berkenaan dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam PTPTN. Kerajaan turut memberikan potongan cukai kepada majikan yang membayar balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja untuk tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028," katanya.
Bagi menangani isu penginapan mahasiswa, Anwar berkata Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) akan melabur RM750 juta menerusi projek Vista Kampus untuk membina kediaman siswa di enam universiti terpilih termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Program Dapur Siswa MADANI turut diperluas ke politeknik dan institut pendidikan guru dengan peruntukan RM20 juta termasuk penyediaan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan dan Menu Kasih Siswa pada harga RM5, ujarnya.
"Bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI 2027 ditingkatkan daripada RM400 kepada RM500 bagi memanfaatkan lebih 60,000 penuntut institusi pengajian tinggi awam," kata beliau lagi.



Comments