KPM teliti kesiapsiagaan pelaksanaan TVET di sekolah rendah


Kementerian Pendidikan (KPM) dalam proses meneliti keberkesanan serta kesiapsiagaan pelaksanaan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah rendah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek (gambar) berkata, elemen TVET akan diintegrasi menerusi Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Dasar Pendidikan Digital.
Menerusi jawapan bertulis disiarkan di web Parlimen, beliau berkata pendekatan itu bukan bertujuan melatih murid memasuki alam pekerjaan pada usia yang terlalu awal, sebaliknya membina asas pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk masa depan.
"Kandungan berkenaan membina asas pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui aktiviti teknologi, reka bentuk, penghasilan produk, penyelesaian masalah, kreativiti, pemikiran komputasional serta amalan kerja yang selamat.
"Pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan pengalaman sebenar membolehkan murid meneroka masalah mudah, menjana idea, mereka bentuk, menghasilkan, menguji dan menambah baik hasil kerja," katanya dipetik laporan media.
Fadhlina sebelumnya menjawab soalan seorang Ahli Parlimen mengenai kajian keberkesanan dan kesediaan pelaksanaan elemen TVET di sekolah rendah termasuk aspek kurikulum, kompetensi guru, kemudahan serta impaknya terhadap perkembangan murid.
Beliau sementara itu turut menjelaskan, pendekatan tersebut turut menyokong pembentukan kompetensi murid dalam KP2027 yang merangkumi perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, kefasihan digital, pelbagai literasi, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.
Bagi memastikan kesiapsiagaan guru, katanya, KPM menyediakan dokumen kurikulum, bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP), modul bimbingan serta program penataran secara bersemuka dan e-pembelajaran.
"Pendekatan ini juga membolehkan guru mendapat pendedahan, bimbingan dan akses berterusan kepada sumber rujukan bagi melaksanakan kurikulum dengan yakin dan berkesan," tambahnya.




Comments