KPM tegas: Tiada kompromi pegawai terlibat aktiviti tidak bermoral
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pendirian tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai yang disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
Menurut kementerian itu, pihaknya mengambil serius pembabitan beberapa penjawat awam dalam aktiviti tidak bermoral di sebuah pusat spa di ibu negara seperti dilapor media baru-baru ini.
"Siasatan dalaman sedang berjalan. Tindakan segera diambil dengan memastikan pegawai terlibat tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan bawah KPM hingga proses siasatan selesai," katanya KPM dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan serbuan pihak berkuasa termasuk Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur terhadap sebuah pusat spa yang disyaki menjadi tempat lelaki songsang berkumpul.
Dalam operasi itu, seramai 201 individu ditahan termasuk tujuh pekerja premis, dengan 24 daripadanya warga asing.
Seramai 17 penjawat awam ditahan dalam serbuan berkenaan, melibatkan pelbagai jawatan termasuk doktor pakar, guru, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan.
Sementara itu KPM dalam kenyataannya mengingatkan semua ketua jabatan diingatkan untuk meningkatkan pemantauan dan memastikan kegiatan tidak bermoral dibanteras di setiap peringkat, selaras dengan komitmen kementerian untuk memelihara integriti perkhidmatan awam dan keselamatan persekitaran pendidikan.









Comments