KPM tegas terhadap kontraktor culas projek pembangunan sekolah
- Suara Keadilan

- Oct 9
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kontraktor yang gagal melaksanakan projek pembangunan sekolah mengikut jadual.
Menterinya, Fadhlina Sidek (gambar) berkata tindakan tegas termasuk penamatan kontrak akan diambil jika kontraktor gagal menunaikan tanggungjawab mereka.
"Penamatan kontrak adalah langkah terakhir, namun KPM tidak teragak-agak untuk bertindak apabila kontraktor gagal menunaikan obligasi mereka," katanya dipetik mengulas Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 berkaitan projek pembangunan di bawah KPM yang berstatus lewat jadual atau sakit.
Laporan itu mendapati 46 projek pembangunan pada 2024 berstatus lewat jadual atau sakit, mewakili 23 peratus daripada keseluruhan 2,040 projek di bawah Rolling Plan IV Rancangan Malaysia Ke-12.
Menurut Fadhlina, antara punca kelewatan termasuk kelemahan pengurusan projek dan kewangan oleh kontraktor, isu logistik, kelewatan kelulusan utiliti, selain faktor luar jangka seperti cuaca, bencana alam, pandemik dan kenaikan harga bahan mentah.
Beliau berkata, KPM melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memastikan projek dapat disiapkan termasuk pemantauan rapi di tapak projek dan sesi libat urus bersama kerajaan negeri serta pihak berkepentingan.
"Pengurusan projek sakit melibatkan intervensi bersasar, sesi libat urus dan kelulusan berkaitan perubahan kerja serta pelanjutan masa," katanya.









Comments