top of page

KPM tambah baik program RMT, tambah variasi menu berkhasiat

  • 7 hours ago
  • 2 min read

Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan ditambah baik dengan jumlah menu ditingkatkan daripada 20 kepada 33 pilihan.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar), berkata inisiatif yang dijangka bermula penghujung tahun ini antara lain bertujuan untuk memberi kepelbagaian kepada menu makanan di bawah RMT.


"Penambahan dibuat setelah melalui perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengambil kira aspek keperluan kalori dan diet seimbang.


"Inisiatif ini juga bertujuan menarik minat dan cita rasa murid melalui tawaran pilihan menu yang lebih luas dan pelbagai," katanya melalui jawapan disiarkan di laman web Parlimen bagi menjawab mengenai langkah langkah penambahbaikan program tersebut.


Program RMT adalah inisiatif KPM bagi menyediakan makanan tambahan kepada murid sekolah rendah daripada keluarga B40 yang layak berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022, iaitu isi rumah berpendapatan di bawah RM1,198 atau pendapatan per kapita RM322.


Program ini bertujuan memenuhi sebahagian keperluan kalori harian murid selaras dengan Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia oleh KKM, dengan setiap penerima RMT akan menerima satu hidangan makanan bermasak dan sekotak susu 200 mililiter (ml) pada setiap hari persekolahan.


Fadhlina sementara itu menegaskan komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan kebajikan, kesihatan, dan keselamatan murid sekolah diutamakan, termasuk aspek pemakanan sihat yang menjadi faktor penting dalam perkembangan fizikal dan mental pelajar.


Bagi memastikan RMT dilaksanakan mengikut garis panduan ditetapkan, beliau berkata guru bertugas akan melaksanakan pemantauan RMT secara dalam talian setiap hari dan akan disemak pentadbir sekolah setiap minggu.


"Pemantauan juga dilaksanakan oleh pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan negeri dan KPM secara berkala termasuk pemantauan semasa permulaan sesi kalendar akademik bagi memastikan program RMT dilaksanakan pada hari pertama sesi persekolahan.


"Selain pemantauan dilaksanakan KPM, pihak KKM turut bekerjasama melaksanakan pemantauan bagi memastikan kebersihan dan kaedah penyediaan makanan menepati standard dan menu yang ditetapkan bersama-sama kedua-dua kementerian," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page