KPM sasar 350 kelas prasekolah baharu diwujudkan tahun ini
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Lebih 120,000 kanak-kanak telah didaftarkan untuk kemasukan prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) berkata, jumlah tersebut menunjukkan prasekolah KPM menjadi pilihan ibu bapa berikutan kualiti pendidikan yang baik dan akses percuma sebelum mereka masuk ke pendidikan formal Tahun 1.
"KPM juga mempunyai tenaga pengajar yang berkelayakan dan terlatih serta prasarana dan kemudahan yang lengkap, malah semua murid akan mendapat faedah Bantuan Makanan Prasekolah (BMP).
"Bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada kanak-kanak berusia lima dan empat tahun daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berada di luar bandar," katanya dipetik.
Terdahulu beliau hadir ke Program Jaulah Ramadan Komuniti KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom di Kuantan pada Khamis yang dihadiri lebih 600 orang terdiri daripada guru, pelajar dan wakil ibu bapa.
Pada acara serupa, Fadhlina turut mengumumkan bantuan sebanyak RM200,000 kepada sekolah berkenaan.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan komitmen kementeriannya untuk memperluas kelas prasekolah dengan menyasarkan sebanyak 350 kelas baharu dibuka pada tahun ini.
Secara keseluruhan jelasnya, sehingga kini terdapat 10,514 kelas prasekolah di 6,469 institusi KPM berkapasiti 256,894 tempat dengan enrolmen semasa sebanyak 217,041 murid.




Comments