KPM salur RM100 ribu baiki SMU(A) Darul Ulum Al-Muhammadiah
- Azuan Ab Rahman

- Apr 14
- 1 min read

Semua keperluan berkaitan kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah Sekolah Menengah Agama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Bachok yang terjejas kebakaran pada Ahad akan diberi perhatian sewajarnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) berkata, kementeriannya sudah melaksana beberapa tindakan segera termasuk mengosongkan premis bagi membolehkan penilaian keselamatan dijalankan.
"Sepanjang minggu ini, sesi pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan kesinambungan pendidikan murid,” katanya dalam satu kenyataan.
Media melaporkan kejadian kebakaran yang memusnahkan blok akademik, bilik penyelia serta asrama pelajar lelaki di sekolah berkenaan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Sementara itu menurut Fadhlina, kementeriannya telah bersetuju menyalurkan peruntukan RM100,000 bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan asas di sekolah terbabit.
Peruntukan itu juga melibatkan kerja membaiki pendawaian elektrik serta penyambungan semula bekalan air bagi membolehkan sesi persekolahan kembali beroperasi semula.
"Selain itu, pasukan kaunselor daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan telah digerakkan untuk memberi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan dengan insiden tersebut," tambahnya.




Comments