top of page

KPM rintis konsep 'AI-Powered Classroom' di 11 sekolah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 22
  • 2 min read

ree

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus melangkah ke hadapan dalam menyediakan sistem pendidikan yang relevan dengan perkembangan terkini.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan kementeriannya kini sedang merintis konsep 'AI-Powered Classroom' di 11 buah sekolah bagi menyediakan laluan pembelajaran yang adaptif.


Bagi meningkatkan kesediaan murid, kurikulum baharu turut memperkenalkan asas Kecerdasan Buatan (AI) di peringkat sekolah rendah, manakala penerokaan lanjut aplikasi AI diteruskan di peringkat menengah.


"Kurikulum ini dirangka berasaskan kompetensi dengan penekanan terhadap komunikasi, kreativiti, pemikiran kritis, keusahawanan dan literasi digital," katanya dipetik di Dewan Rakyat semalam.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan bagaimana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan diperkasa bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penerapan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan TVET.


"KPM merangka lima fokus utama iaitu kualiti, akses dan ekuiti, ketersediaan sumber dan kecekapan, keluwesan serta kemampanan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026 hingga 2035.


"Pelan itu memberi penekanan kepada penjajaran kurikulum dengan realiti pasaran, pembelajaran berasaskan teknologi seperti AI dan pemerkasaan ekosistem TVET," jelas Fadhlina.


Beliau sementara itu memaklumkan, bermula tahun ini, dua kursus teras disiplin berteraskan AI ditawarkan dalam program Diploma Teknologi Perkomputeran dan Diploma Teknologi Maklumat di Kolej Vokasional (KV) iaitu 'Computer Vision In Computing Technology' dan 'Computer Vision In Information Technology'.


Satu kursus elektif baharu iaitu 'Generative Artificial Intelligence' juga kini ditawarkan kepada semua program diploma di KV.


Bagi memastikan pelaksanaan teknologi ini dibuat secara beretika dan bertanggungjawab, KPM kini dalam proses memuktamadkan Garis Panduan Literasi Kecerdasan Buatan yang dijangka siap menjelang September ini.


"Garis panduan ini penting bagi memastikan penggunaan AI dalam sistem pendidikan berlaku secara selamat, beretika dan berpaksikan nilai murni. KPM komited untuk terus memperkukuh sistem pendidikan digital demi masa depan anak-anak Malaysia," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page