top of page

KPM perkukuh syiar Islam melalui pendidikan adab, akhlak - Fadhlina

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 1 min read

Fadhlina dalam Konvensyen dan Persidangan Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Kota Kinabalu
Fadhlina dalam Konvensyen dan Persidangan Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Kota Kinabalu

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh komitmen dalam meningkatkan syiar Islam melalui pelbagai inisiatif berteraskan pendidikan adab dan akhlak dalam kalangan murid.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa dalam mendepani pelbagai isu sosial masa kini, keutamaan perlu diberikan kepada usaha membentuk sahsiah, nilai dan akhlak anak-anak agar lahir generasi berilmu serta berakhlak mulia.


"Kita sedang berhadapan dengan pelbagai isu sosial dalam masyarakat. Fokus utama perlu diberikan kepada pembentukan adab dan akhlak anak-anak, termasuk peranan penting guru dalam memupuk nilai-nilai manusiawi," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook pada Sabtu.


Menurut Fadhlina, antara usaha KPM dalam memperkukuh syiar Islam termasuk pelaksanaan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi, pemerkasaan program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) serta laluan khas pelajar lepasan STAM ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).


Beliau menambah, hasrat KPM untuk melahirkan insan berilmu, beriman dan berakhlak mulia hanya akan tercapai jika pelajar benar-benar menghayati ilmu yang dipelajari.


"Pendidikan berlandaskan hikmah perlu berperanan untuk mengubah masyarakat menjadi lebih baik," ujarnya.


Terdahulu, Fadhlina menghadiri Konvensyen dan Persidangan Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Kota Kinabalu yang menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada guru, pensyarah, pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), ahli akademik dan rakan kolaborasi antarabangsa.


Persidangan itu bertujuan memperkukuh ekosistem Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di negara ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page