KPM perkenal CPP sebagai usaha tangani buli di sekolah
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) sebagai komitmen berterusan menangani isu buli di sekolah.
Menteri Pendidikan berkata, polisi itu akan ditandatangani semua pihak berkepentingan termasuk pihak sekolah dan ibu bapa sebagai aku janji bersama untuk menjaga, memelihara dan melindungi murid.
"Ini memang komitmen kita sepanjang masa dan saya sudah menegaskannya dalam amanat Tahun Baharu.
"Dalam konteks tahun ini, semua pihak akan menandatangani polisi ini yang melibatkan semua pemegang taruh dengan aku janji untuk menjaga, memelihara dan melindungi anak-anak kita," katanya dipetik.
Fadhlina sebelumnya hadir meninjau hari pertama pembukaan sekolah sesi akademik 2026 di SJKC Ladang Regent, Elmina pada Isnin.
Beliau sementara itu menegaskan bahawa polisi itu antara pembaharuan penting yang diperkenalkan KPM dan akan diperkenalkan secara rasmi seiring pembukaan sekolah tahun ini
"Manual buku Sekolah Sejahtera, Sekolah Selamat juga sedang dalam peringkat akhir untuk kita kongsikan dengan ibu bapa dan seluruh masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam melindungi anak-anak kita. Insya-Allah," katanya.





