KPM nyata komitmen perkukuh ekosistem pendidikan digital
- Suara Keadilan
- Apr 18
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang giat membina ekosistem pendidikan digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara ini.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, usaha itu sedang yang sedang dilaksana secara berperingkat bertujuan memastikan Malaysia tidak ketinggalan dengan perkembangan pesat arus teknologi global.
"Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kita memang dalam usaha untuk terus memperkukuhkan ekosistem pendidikan digital, AI dan teknologi kita ini melalui pelbagai segmen dan juga peringkat.
"Pendidikan teknologi adalah keuntungan bersama dalam mengukuhkan serta meningkatkan jati diri anak-anak, semua terkait rapat dengan pendidikan digital, teknologi dan AI
"... Jadi, dalam usaha kita mereformasikan pendidikan dalam negara, kita akan mengukuhkan pelan penggunaan pendidikan yang baharu dan pelaksanaan pendidikan yang akan datang," katanya dipetik.
Fadhlina berkata begitu ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Madani : Cakna Pendidikan Digital di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu pada Khamis.
Pada majlis itu, satu resolusi berkaitan pendidikan turut diadakan sebagai simbol komitmen bersama warga pendidikan terhadap masa depan pendidikan digital negara.
Sementara itu menurut Fadhlina, selain memperkukuhkan ekosistem pendidikan, kementeriannya juga turut menekankan kepentingan membina jati diri dan nilai murni dalam kalangan pelajar seiring kemajuan teknologi.
"Dalam kita menempuh arus rempuhan teknologi, asas paling penting iaitu akhlak dan nilai tetap perlu diperkukuh.
"Sebab itu, pendidikan karakter akan menjadi salah satu fokus utama dalam kurikulum baharu nanti, selari dengan pengukuhan ekosistem dan prasarana digital yang sedang diusahakan," tambahnya.
留言