KPM mahu siasatan terperinci kes pelajar jatuh bangunan - Fadhlina
- Suara Keadilan

- Aug 26
- 2 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian terhadap kes seorang pelajar asrama di sebuah sekolah Sabak Bernam yang dilaporkan jatuh dari bangunan dengan melakukan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP).
Menterinya Fadhlina Sidek (gambar) berkata laporan kepada pihak polis telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
"Saya pastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini.
"KPM tidak berkompromi dengan sebarang salah laku buli. Tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti kejadian ini melibatkan salah laku buli," katanya dipetik Bernama.
Fadhlina berkata KPM juga menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.
"Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad berkata pelajar tingkatan tiga yang dipecayai jatuh dari aras tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam itu kini sedang ditidurkan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh.
Katanya mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan otak.
"Fokus utama pasukan perubatan yang mengendalikan mangsa ketika ini adalah untuk memantau kecederaan," ujar Azam dalam satu sidang media khas hari ini.
Azam menjelaskan ambulans tiba di sekolah berkenaan pada pukul 3.20 pagi (Selasa) untuk mangsa dibawa ke Hospital Sabak Bernam sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.
Bapa mangsa turut hadir ke Hospital Sabak Bernam sebelum murid berkenaan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.
Pada waktu sama, pengetua sekolah turut membuat laporan polis sebelum pasukan keselamatan datang untuk melakukan prosedur siasatan.
Terdahulu Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden itu di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Sebarang kesimpulan khususnya melibatkan buli masih terlalu awal pada peringkat ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dari pelbagai sudut, termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan sekeliling.
"Buat masa ini, pihak polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi-saksi dan individu yang berkaitan. Sebarang spekulasi berhubung punca kejadian, termasuk dakwaan wujudnya unsur buli, adalah terlalu awal untuk disahkan," katanya.









Comments