top of page

KPM mahu seragamkan pakaian sekolah, ringan beban kewangan ibu bapa

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 days ago
  • 1 min read

Pakaian seragam perlu melambangkan penyatuan bukannya aneka ragam. Gambar hiasan
Pakaian seragam perlu melambangkan penyatuan bukannya aneka ragam. Gambar hiasan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang menyeragamkan pakaian sekolah di seluruh negara secara berperingkat bermula 2027 melibatkan murid tahun satu dan pelajar tingkatan satu.


Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata, cadangan itu hasil kajian menyeluruh dijalankan sejak September lalu melibatkan pelbagai pihak dengan meneliti semua aspek berkaitan termasuk mengambil kira kemampuan kewangan keluarga, khususnya ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah


"Terdapat sekolah yang menetapkan pakaian seragam sehingga melebihi tujuh warna, selain mewajibkan beberapa jenis baju-T bagi aktiviti berbeza serta aksesori tambahan seperti blazer dan vest.


"Perkara bersifat kosmetik yang tidak memberi kesan langsung kepada pembelajaran wajar dielakkan. Bukan sahaja menyukarkan murid yang berpindah sekolah di pertengahan tahun, malah menambah beban kewangan ibu bapa," katanya menurut laporan media.


Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan rasmi mengenai cadangan itu dijangka diumumkan pada Ogos 2026, sebelum dilaksana.


Sementara itu tambahnya, penggunaan pakaian seragam pelbagai warna dilihat tidak menyumbang kepada pemupukan perpaduan dalam kalangan murid, sebaliknya berpotensi menanam rasa perbezaan dan persaingan sejak usia awal.


"Pakaian seragam sepatutnya melambangkan kesatuan, bukannya menonjolkan perbezaan," tambahnya.


Awal minggu ini, KPM memaklumkan keputusan murid sekolah tidak lagi diwajibkan memakai tali leher ke sekolah mulai tahun hadapan.


Selain bertujuan meringankan beban kewangan isi rumah, kementerian itu berpandangan realiti iklim tempatan yang panas dan lembap menyebabkan pemakaian tali leher setiap hari kurang sesuai dan menjejaskan keselesaan murid.


Bagaimanapun menurut KPM, pemakaian tali leher masih dibenarkan berdasarkan keputusan permuafakatan pihak sekolah dengan ibu bapa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page