KPM junjung kasih titah Agong, komited perkasa pendidikan negara
- Suara Keadilan
- 15 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15 yang menyentuh mengenai pendidikan negara.
Menurut KPM, titah Seri Paduka Baginda yang menekankan kepentingan pendidikan sebagai tunjang pembangunan negara menjadi peringatan kepada seluruh warga kementerian untuk terus komited memperkasa ekosistem pendidikan secara menyeluruh.
"Ini termasuk memastikan sebarang usul mengiktiraf sistem pendidikan lain mesti selari dengan Dasar Pendidikan Negara dan menerima keperluan Bahasa Melayu serta Sejarah Malaysia," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, KPM turut memaklumkan pihaknya kini memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan Kurikulum Baharu Prasekolah.
"Seperti yang dititahkan baginda, RPM 2026-2035 memberi penekanan kepada usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris dan bahasa lain sebagai nilai tambah kepada murid.
"KPM memastikan titah baginda dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa sistem pendidikan negara perlu terus diperkasakan sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa depan Malaysia.
Baginda menegaskan, sebarang usaha mewujudkan sistem pendidikan baharu mestilah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, dengan Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa utama kerana kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.
Sehubungan itu, Baginda bertitah bahawa sebarang usul untuk mengiktiraf sistem pendidikan lain mesti menerima penggunaan Bahasa Melayu serta pengajaran sejarah Malaysia.





