KPM jamin tiada penolakan pendaftaran murid enam tahun
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan semua kanak-kanak berumur enam tahun yang mendaftar darjah satu pada 2027 akan diterima tanpa sebarang penolakan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) berkata, persiapan telah dilakukan pada tahap maksimum, termasuk pemetaan kawasan dan pengoptimuman prasarana untuk menerima kemasukan murid.
"Walaupun ada pilihan, persiapan kita maksimum dengan mengambil kira pemetaan yang sudah pun kita buat.
"Dari segi sambutan, sudah pun kita dapat kenal pasti membabitkan kawasan tertentu. Jadi tidak akan ada penolakan... siapa yang terima dan siapa yang memohon itu kita akan masukkan," katanya dipetik pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.
Fadhlina sementara itu menegaskan ibu bapa tidak perlu mendaftarkan anak ke prasekolah jika telah mendaftar untuk darjah satu.
Sebelum ini, KPM memaklumkan pendaftaran darjah satu bagi sesi akademik 2027 termasuk untuk murid berusia enam tahun akan dibuka mulai 15 Februari hingga 31 Mac ini.
Pendaftaran terbuka kepada kanak-kanak warganegara dalam dua kohort umur iaitu enam tahun (5+) yang lahir pada 2 Januari hingga 31 Disember 2021 serta tujuh tahun (6+) bagi 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021
Sementara itu Fadhlina turut memaklumkan pengambilan 20,000 guru baharu Gred DG9 secara kontrak (CoS), selain calon simpanan dan graduan Diploma Pendidikan.
Langkah itu bagi menampung keperluan segera terutamanya untuk sistem pendidikan di sekolah rendah seluruh negara.
"Pengambilan CoS adalah bersifat berfasa dan sementara bagi menampung keperluan mendesak di sekolah tertentu dan tidak menggantikan perancangan pengambilan berasaskan laluan profesional keguruan," katanya.









Comments