KPM ikut saranan KKM kekang kluster tibi di sekolah
- Suara Keadilan
- 14 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) bakal mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan tuberkulosis atau tibi di kawasan sekolah dengan berpandukan saranan, dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) berkata, beliau difahamkan keadaan masih terkawal dan perkara itu berada dalam pemantauan ketat KKM.
"Kami akan ikut semua arahan yang diberikan oleh KKM," katanya dipetik pada Majlis Perasmian Festival Nibong Tebal disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semalam.
Beliau sebelumnya ditanya sama ada kementeriannya akan mengesyorkan saringan kesihatan dibuat di semua sekolah bagi mengelak penularan penyakit berjangkit itu.
Ia susulan laporan enam pelajar murid di tiga sekolah rendah dan dua sekolah menengah di daerah Kota Tinggi, Johor disahkan menghidap penyakit itu.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi dilapor sudah mengadakan sesi libat urus dengan lima sekolah yang terlibat wabak tersebut.
PKD turut telah melaksanakan kerja-kerja sanitasi dan pembersihan menyeluruh di lokasi dikenal pasti berisiko.





