KPM benarkan siswa guru ikuti kuliah hibrid empat hari cuti Deepavali


Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan pelaksanaan kuliah secara hibrid selama empat hari di semua Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) bagi memberi peluang kepada siswa guru berketurunan India pulang menyambut Deepavali bersama keluarga.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata kemudahan itu membolehkan siswa guru yang menuntut jauh dari kampung halaman mengikuti kuliah secara dalam talian sepanjang tempoh berkenaan tanpa menjejaskan kelangsungan pengajian.
Beliau berkata pelaksanaan kuliah hibrid itu ditetapkan pada 9 hingga 12 November 2026 bagi Kumpulan A manakala Kumpulan B pada 10 hingga 13 November 2026.
"Melalui kemudahan ini, siswa guru yang pulang meraikan Deepavali masih boleh mengikuti kuliah secara dalam talian.
"IPG Kampus juga boleh memohon cuti tambahan dan cuti berganti sekiranya terdapat keperluan," katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut Fadhlina langkah itu mengambil kira hasrat siswa guru yang ingin meraikan perayaan bersama keluarga khususnya mereka yang terpaksa berjauhan dari kampung halaman kerana tuntutan pengajian.
Sementara itu, pekeliling Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bertarikh 30 Oktober lalu yang dikongsi Fadhlina menyebut cuti Deepavali bagi tahun ini ditetapkan pada 8 November, manakala cuti bagi negeri Kumpulan A (Kedah, Kelantan dan Terengganu) turut jatuh pada tarikh sama.
Bagi negeri Kumpulan B merangkumi Perlis, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah, cuti ditetapkan pada 9 November.
Bagaimanapun, tiada cuti diberikan kepada IPGK di Sarawak memandangkan Deepavali bukan cuti umum negeri berkenaan.
Pekeliling itu turut menetapkan IPG Kampus boleh mengemukakan permohonan cuti tambahan dan cuti berganti kepada IPGM sekiranya terdapat keperluan.
Selain itu, kampus yang mempunyai bilangan siswa guru berketurunan India yang tidak ramai boleh memberikan kebenaran bercuti kepada pelajar yang terlibat.
Fadhlina berkata kementerian mahu memastikan pembelajaran terus berjalan dengan baik tanpa mengabaikan kepentingan siswa guru meluangkan masa bersama keluarga sempena perayaan berkenaan.
Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh siswa guru dan keluarga yang meraikannya.




Comments