KPM ambil tanggungjawab penuh insiden kematian di kejohanan ragbi
- Suara Keadilan

- Oct 5
- 1 min read

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, yang meninggal dunia secara mengejut di Ipoh, Perak pada Jumaat.
Menurut beliau, pihak kementerian mengambil tanggungjawab penuh atas insiden yang berlaku ketika Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 itu.
"Semua langkah kesiapsiagaan kecemasan dan aspek keselamatan dilaksanakan dengan teliti namun insiden berkenaan disifatkan sebagai sesuatu yang tidak dijangka.
"Kita ambil tanggungjawab penuh setiap kali ada pertandingan ini," katanya dipetik pada majlis bacaan yasin dan tahlil kematian Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh pada Sabtu.
Muhammad Fauzan dilapor rebah ketika hendak memasuki padang bagi memulakan perlawanan separuh masa kedua dalam kejohanan itu.
Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun ke atas mangsa mendapati punca kematian adalah akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan.
Fadhlina sementara itu memaklumkan, kejohanan ditangguhkan dan akan disambung semula pada 28 hingga 31 Januari tahun depan.
"Kita buat keputusan untuk membatalkan semua kejohanan dan pertandingan ini, bagi menghormati keluarga dan juga memberi sokongan kepada keluarga ketika ini," tambahnya.









Comments