top of page

KPM ambil 20,000 guru baharu tampung keperluan kemasukan murid enam tahun

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 30
  • 2 min read

Oleh: Helmi Foad


Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil seramai 20,000 guru baharu bagi memenuhi keperluan guru di sekolah-sekolah seluruh negara.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) berkata langkah itu merupakan sebahagian persiapan awal kementerian bagi melaksana Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 selain menyokong dasar kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula pada tahun depan.


"KPM akan melaksanakan pengambilan seramai 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 baharu secara Contract of Service (CoS) bagi memenuhi keperluan guru di sekolah-sekolah seluruh negara," katanya dalam hantaran di Facebook.


Menurut Fadhlina pengambilan berskala besar itu mencerminkan kesungguhan KPM dalam memastikan sistem pendidikan negara terus berfungsi dengan berkesan khususnya dalam menghadapi peningkatan keperluan tenaga pengajar di sekolah rendah dan menengah.


"Inisiatif ini adalah langkah persediaan awal KPM bagi memastikan keperluan pendidikan negara dapat dipenuhi secara menyeluruh dan mampan," katanya.


Fadhlina berkata, bagi memastikan kualiti dan kompetensi guru sentiasa terpelihara, semua calon yang terpilih diwajibkan menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM merangkumi pelbagai bidang pengkhususan.


Beliau menegaskan aspek profesionalisme dan kemahiran pedagogi guru kekal sebagai keutamaan kementerian dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan negara.


"Calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di IPG KPM bagi memastikan mereka benar-benar bersedia dan berkeupayaan untuk mendidik generasi masa depan," katanya.


Fadhlina berkata pengambilan guru baharu itu turut mendapat kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memastikan proses pengambilan dilaksanakan secara telus dan berintegriti.


Melalui infografik yang dikongsi, Fadhlina turut memaklumkan hebahan pengambilan guru akan dibuat bermula 23 Februari ini diikuti pembukaan permohonan dari 2 hingga 20 Mac 2026, manakala proses saringan temu duga dijadualkan antara 27 April hingga 14 Mei 2026.


"Inisiatif ini adalah cerminan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat anak-anak Malaysia," ujarnya.


Semua calon yang berkelayakan dipelawa untuk memohon apabila permohonan dibuka kelak dengan maklumat lanjut akan dikongsikan oleh KPM dalam masa terdekat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page