KPM alu-alukan penglibatan alumni kukuh agenda pendidikan - Fadhlina
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) membuka ruang kerjasama bersama alumni sekolah untuk memperkukuh pembangunan generasi baharu selain memastikan kecemerlangan secara holistik dan berdaya saing.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata, kejayaan alumni bukan sekadar menjadi kebanggaan pihak sekolah, malah wajar dijadikan inspirasi kepada golongan pelajar untuk terus berjaya.
"Kita amat memerlukan penglibatan alumni, dan saya membuka seluas-luasnya ruang kerjasama khususnya Pejabat Parlimen Nibong Tebal bersama alumni sekolah bagi memastikan pendidikan anak-anak kita terus menjadi keutamaan," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Nibong Tebal di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Pai Teik pada Sabtu.
Pada majlis itu, Fadhlina turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada SMK Methodist Nibong Tebal bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran dan persekitaran sekolah yang lebih kondusif.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan dua agenda besar sedang digerakkan KPM iaitu Pelan Pendidikan Malaysia 2026–2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan dilaksanakan berperingkat mulai prasekolah tahun depan.
"Kedua-dua agenda ini akan memberi kesan langsung kepada sistem pendidikan negara dan sudah tentu memerlukan sokongan daripada semua pihak, khususnya komuniti, bagi bersama-sama membentuk sahsiah dan karakter anak-anak kita," jelasnya.





