KPKT sukarela serah dokumen projek MyKiosk kepada SPRM
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara sukarela menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada agensi anti-rasuah Malaysia susulan laporan dibuat sebuah parti politik berkaitan projek membantu usahawan jalanan di seluruh negara.
Dokumen tersebut diserahkan oleh sepasukan pegawai kementerian diketuai Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.
Ia susulan Pemuda MCA Selangor semalam membuat laporan kepada SPRM dengan menggesa siasatan ke atas projek MyKiosk bernilai RM250 juta bawah KPKT.
"KPKT mengambil langkah proaktif dengan menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan Projek MyKiosk kepada SPRM sebagai tanda komitmen kementerian dalam memastikan ketelusan dan integriti projek tersebut," kata kementerian dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu berkata langkah tersebut diambil berikutan aduan yang telah dibuat oleh pihak tertentu tentang dakwaan berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan projek MyKiosk.
Jelasnya pasukan KPKT tampil secara sukarela memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menyerahkan dokumen-dokumen berkenaan inisiatif MyKiosk meskipun belum menerima mana-mana permintaan daripada SPRM.
"Ini membuktikan komitmen tinggi KPKT dalam memperkukuhkan sistem pengurusan dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.
"KPKT juga ingin memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan yang terlibat dalam pelaksanaan program MyKiosk yang bertujuan untuk memanfaatkan penjaja kecil," katanya sambil menegaskan kementerian komited memastikan semua inisiatif dan program kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti.
Kata kenyataan itu lagi, penyerahan dokumen itu diharap dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa setiap urusan dan pelaksanaan program adalah telus dan mengikut prosedur yang betul.
"Kementerian berharap agar langkah ini dapat memberikan gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan integriti dalam segala aspek pentadbiran dan perkhidmatan awam," ujarnya.
Kenyataan tersebut menjelaskan semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka.
Hasil proses tender tersebut, sebanyak 795 kontraktor telah dilantik oleh PBT di seluruh negara, katanya.
Kenyataan itu menjelaskan kos siling MyKioks 2.0 setiap satu sebanyak RM25,000 adalah munasabah dengan kontraktor boleh bersaing secara adil melalui proses sebut harga yang telus dan terbuka di peringkat PBT masing-masing.
"Kesemua peruntukan berkaitan MyKiosk telah disenaraikan dalam Inisiatif Belanjawan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan mengikut prosedur yang ditetapkan," jelas beliau.
Di bawah Seksyen 27(1) Akta SPRM, mana-mana pihak yang membuat pernyataan palsu atau dimaksudkan untuk mengelirukan kepada pegawai SPRM boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.