KPKT sedang teliti, pinda Akta Kediaman Sewaan
- Suara Keadilan
- Nov 15, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengambil kira maklum balas pihak berkaitan bagi meneliti pindaan Akta Kediaman Sewaan.
Timbalan Menteri, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementerian kini dalam proses menambah baik akta tersebut agar ia memberi manfaat kepada penyewa dan pemilik rumah.
"Kerajaan terdahulu cuba membawa Akta Kediaman Sewaan ketika musim pandemik tetapi berlaku tentangan yang agak ketara.
"Maka, KPKT meneliti semula dan cuba mencari ruang untuk diangkat sekali lagi (membuat pindaan) dengan melakukan beberapa pindaan yang agak major.
"Cuma ia bergantung proses libat urus (pihak berkepentingan) dan maklum balas serta persetujuan supaya hak penyewa dilindungi dan pemilik tuan punya juga diberi hak yang sama," katanya dalam pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai usaha kerajaan meminda Akta Kediaman Sewaan.
Selain itu, menjawab soalan susulan sama ada kerajaan berhasrat mengawal kadar keuntungan pemaju bagi memastikan harga tidak berlebihan, Akmal berkata, pendekatan KPKT pada ketika ini adalah mengenal pasti punca yang mempengaruhi kos pembinaan rumah.
Jelasnya, dalam projek perumahan, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kenaikan dan penurunan bagi harga rumah.
"Bagi pandangan saya terdapat tiga kategori pertama iaitu kos tanah yang banyak bergantung kepada faktor lokaliti.
"Kedua, kos pembinaan dan ketiga kos ‘compliance’ iaitu kos untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi ataupun syarikat pembekal.
"Jadi pendekatan yang dibawa KPKT, ialah keterbukaan (menerima maklumat dari pemaju) supaya kita tahu di mana kos yang menjadi punca harga rumah menjadi begitu mahal," ujarnya lagi.
Comments