top of page

KPKT salur RM154 juta baik pulih 1,529 tandas awam

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
1 min read
Menteri KPKT, Nga Kor Ming. Gambar arkib
Menteri KPKT, Nga Kor Ming. Gambar arkib

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM154 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk menyelenggara, membaikpulih dan menaik taraf kemudahan tandas awam.


Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, peruntukan bagi tempoh 2023 hingga 2025 itu digunakan untuk menaik taraf 1,529 tandas awam di bawah seliaan PBT di seluruh negara setakat ini.


Selain itu kerjasama KPKT dengan Kementerian Pendidikan menurutnya turut menyaksikan 11,835 tandas sekolah di seluruh negara berjaya dinaik taraf, yang disifatkannya sebagai pencapaian terbesar dalam sejarah.

"Penyediaan tandas awam yang bersih, menawan dan wangi (BMW) penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mencerminkan tahap ketamadunan dan imej negara, khususnya ketika Malaysia berusaha menarik lebih ramai pelancong asing.


"KPKT akan meneruskan usaha berkenaan dengan menyalurkan peruntukan khas RM30 juta setahun bagi tempoh 2026 hingga 2030, menjadikan jumlah keseluruhan RM150 juta untuk kerja membaik pulih dan menaik taraf tandas awam PBT dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya dipetik laporan media.


Beliau sebelumnya hadir ke Majlis Anugerah Tandas Terbaik Malaysia 2026 (TOTYA'26) anjuran KPKT, di Kuala Lumpur.


Turut hadir Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.


Kor Ming sementara itu berkata, kesedaran terhadap kepentingan kebersihan tandas awam menunjukkan perkembangan positif apabila penyertaan TOTYA'26 meningkat kepada 849 tahun ini berbanding 345 pada tahun pertama penganjurnya.


Malaysia menurutnya dijangka menerima 47 juta pelancong asing tahun ini, sekali gus menjadikan penyediaan kemudahan tandas awam yang bersih dan selesa antara aspek penting dalam menyokong sektor pelancongan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page