Selangor menerima pengiktirafan dari Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dari sebagai juara dalam penyediaan dan penyiapan rumah mampu milik di negara ini.
Perkara itu didedahkan Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari pada Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Seri Temenggung di Batu Caves, Gombak pada Jumaat.
Jelasnya, setakat ini kerajaan negeri itu berjaya membina 40,000 unit rumah mampu milik dan tambahan 45,000 unit bakal disiapkan akhir tahun ini.
"Pada hari ini, projek tersebut yang sedang berkembang, selain Dasar Selangorku 3.0 yang membenarkan unit satu dan dua bilik untuk golongan bujang akan menjadi pelengkap kepada keseluruhan projek," katanya.
Sementara itu Naib Presiden KEADILAN itu turut memberitahu,bagi tempoh lima tahun sehingga 2028, kerajaan negeri melonjakkan sasaran membina sekurang-kurangnya 200,000 unit rumah mampu milik.
Kerajaan negeri turut akan terus menjalankan projek peremajaan atau membangunkan bandar dan perumahan baharu yang menurutnya dengan kemudahan serba moden mampu menaikkan kualiti hidup rakyat.
"Shah Alam, Ampang, Petaling dan Cheras mempunyai banyak kawasan perumahan yang dibangunkan pada 80-an 90-an dan perlu dibangunkan semula. Perubahan dasar di peringkat persekutuan diperlukan. Ini peluang terbaik hidupkan kawasan perumahan lebih berdaya saing dengan lebih banyak fasilit," jelasnya
Comments