KPKT berjaya baik pulih 188,525 unit kediaman sejak 2023
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya membaik pulih sebanyak 1,576 projek perumahan membabitkan 188,525 unit kediaman dari tahun 2023 hingga Mei tahun ini.
Menteri KPKT Nga Kor Ming (gambar) berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil usaha berterusan kementerian dalam menangani isu projek perumahan sakit, terbengkalai, dan tergendala yang menjejaskan ratusan ribu pembeli rumah di seluruh negara.
"Pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap aliran tunai pemaju sehingga menyebabkan banyak projek tergendala.
"Justeru, KPKT menubuhkan pasukan petugas khas bagi menghidupkan semula projek sakit dan terbengkalai demi melindungi kepentingan pembeli rumah," katanya dipetik pada Majlis Pecah Tanah Projek KL360 @ Menara GD, di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Kor Ming turut memaklumkan, kejayaan tersebut menyumbang kepada nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan mencecah RM148.21 bilion.
Sementara itu, sebagai mengulas prestasi sektor hartanah negara beliau berkata, ia menunjukkan momentum positif sekaligus mencerminkan keyakinan pelabur dan pengguna terhadap pasaran hartanah tempatan yang semakin kukuh.
Projek KL360 kini memasuki fasa pemulihan setelah terjejas ekoran beberapa faktor termasuk kesan pandemik COVID-19, tempoh pembinaan yang berlarutan serta kekangan kewangan pasca pandemik.
Kerja pembinaan dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini sebelum siap sepenuhnya menjelang 2030.




Comments