top of page

KPKT alu-alukan siasatan SPRM terhadap projek MyKiosk

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 3
  • 1 min read
ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan inisiatif MyKiosk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).


Dalam satu kenyataan media pada Rabu, kementerian itu menyatakan komitmennya untuk memastikan setiap inisiatif kerajaan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.


"Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak sekiranya terdapat elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan.


"KPKT secara sukarela telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan pelaksanaan inisiatif MyKiosk kepada SPRM pada 22 Mei 2025. Tindakan ini mencerminkan komitmen KPKT terhadap prinsip integriti dan ketelusan.


"KPKT turut memperkukuh budaya integriti dalaman melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat (Traffic Light System) dan penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap PBT bagi memantau dan menilai prestasi integriti serta membasmi amalan rasuah di peringkat PBT," kata kenyataan itu.


Inisiatif MyKiosk merupakan salah satu program di bawah KPKT yang bertujuan memperkasakan ekonomi peniaga kecil.


Kos siling bagi MyKiosk 2.0 yang ditetapkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan adalah sebanyak RM25,000 setiap unit dan semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka.


Terdahulu, SPRM memaklumkan sudah memulakan siasatan terhadap projek MyKiosk.


Siasatan dijalankan susulan aduan daripada sebuah parti politik yang mendakwa wujud amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan projek tersebut.


Sehubungan itu, SPRM telah memanggil beberapa individu termasuk pegawai PBT dan pembekal yang terlibat untuk memberi keterangan, di samping meneliti dokumen berkaitan bagi menilai sama ada berlaku pelanggaran prosedur perolehan atau unsur rasuah dalam pelaksanaan projek tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page