KPKN laksana pelbagai inisiatif perkasa PMKS - Dr Fuziah
- Suara Keadilan
- Apr 19
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil pendekatan lebih menyeluruh dalam membantu memacu ekonomi rakyat.
Timbalan Menterinya Dr Fuziah Salleh berkata, kementerian itu tidak sekadar berperanan mengawal harga barangan keperluan tetapi turut memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Dalam suasana rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup, kami di KPDN bukan hanya bertindak sebagai pemantau harga, tetapi juga sebagai pemacu ekonomi rakyat," katanya dipetik kepada pemberita selepas merasmikan restoran Daily Coffee di Kuantan pada Jumaat.
Mengulas lanjut Dr Fuziah menjelaskan, kementerian itu melalui Bahagian Pembangunan Perniagaan (BPP) melaksana pelbagai inisiatif dalam memperkasa PMKS.
Antara inisiatif yang dilaksana antaranya program promosi jenama tempatan, pendigitalan sistem perniagaan, pembiayaan mikro dan padanan pasaran, latihan serta khidmat pembangunan kapasiti dilaksana KPDN
"Apabila menyokong PMKS secara konsisten, kita sebenarnya sedang membina semula ekonomi rakyat secara inklusif.
"Misalnya, pembukaan jenama tempatan seperti Daily Coffee juga membuktikan PMKS boleh berkembang, mencipta pekerjaan dan menjadi peneraju dalam sektor makanan serta minuman," katanya.
Berdasarkan Laporan Banci Ekonomi tahun 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) mencatat hasil sebanyak RM228.66 bilion pada 2023 dengan unjuran pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7.95 peratus dari 2023 hingga 2027.
Industri itu menggajikan lebih sejuta orang pada 2022, menyumbang lebih RM15.5 bilion dalam bentuk gaji dan upah selain mewujudkan peluang pekerjaan berterusan di peringkat tempatan.
Comments