KPDN siasat kenaikan tambang bot laju Menumbok – Labuan
- Suara Keadilan

- Nov 6
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memulakan siasatan terhadap dakwaan kenaikan harga tambang bot laju antara Menumbok dan Labuan yang dikuatkuasakan sejak 1 November lalu.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata, siasatan itu selepas pihaknya menerima aduan berhubung kenaikan tambang sebanyak RM3 sehala yang diumumkan oleh Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok.
Menurut beliau, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah diarahkan menjalankan siasatan dari aspek amalan anti-persaingan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
"Sebarang persetujuan antara perusahaan untuk menetapkan harga atau tambang melalui pakatan, sama ada melalui persatuan atau tidak, adalah pelakuan kartel yang serius.
"Tindakan itu boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada kutipan hasil syarikat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut Armizan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk sabotaj ekonomi yang menjejaskan kepentingan pengguna dan pemain industri lain.
Beliau turut mengingatkan bahawa pengusaha bot berdaftar sebenarnya layak menikmati subsidi petrol RON95 melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang dikawal selia KPDN.
"Oleh itu, alasan kenaikan tambang kerana peningkatan kos bahan api tidak wajar memandangkan kerajaan telah menyediakan kemudahan subsidi kepada mereka," ujarnya dalam kenyataan tersebut.









Comments