KPDN Selangor bendung ketirisan barangan kawalan bersubsidi
- Suara Keadilan
- May 4
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor komited memperhebatkan penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi.
Agensi itu memaklumkan, pihaknya telah melaksana OPS GASAK 2025 pada 1 Mei lalu, khusus untuk membanteras penyelewengan subsidi gas petroleum cecair (LPG) di seluruh negara.
"Operasi dilaksanakan secara serentak melibatkan semua pejabat KPDN cawangan di Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Kubu Bharu dan Kuala Selangor.
"Ia memberi tumpuan kepada premis seperti syarikat penternakan ayam, pembekal gas memasak, perniagaan dobi dan restoran yang penyalahgunaan gas memasak bersubsidi untuk perniagaan tanpa kebenaran," kata Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey menerusi satu kenyataan.
Susulan itu jelasnya, pihaknya mengesan empat kes di bawah Peraturan 18(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, iaitu memiliki barang kawalan berjadual bersubsidi, iaitu gas memasak yang digunakan bagi perniagaan tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.
Kesemua kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan tindakan sitaan melibatkan hampir 90 tong gas LPG bernilai kira-kira RM8,000.
"Sejak Januari hingga 3 Mei 2025, sebanyak 35 kes melibatkan penyelewengan gas memasak telah dihasilkan di Selangor, membabitkan nilai rampasan mencecah RM680,000.
"KPDN Selangor akan terus memperkukuh peranan penguatkuasaan melalui pendekatan bersasar, berasaskan data serta berorientasikan pendidikan pengguna dan peniaga," tambahnya.
Comments