
Dengan kadar inflasi makanan dijangka akan mengalami trend menurun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) mensasarkan harga bahan mentah akan kembali stabil akhir bulan Mac.
Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata begitu ketika ditemui media ketika mengadakan lawatan di Kemaman semalam.
"Penganalisis ekonomi meramalkan inflasi makanan domestik akan menurun kepada 5 peratus berbanding ketika ini berada pada paras 6.8 peratus.
"Kita akui sekarang ini inflasi makanan agak tinggi dan berada di tahap 7 peratus pada November lalu," katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOM) akhir Januari lalu menjangkakan inflasi makanan akan terus menurun berikutan penurunan harga komoditi global berkaitan rantaian makanan dan pengukuhan nilai ringgit.
Keyakinan itu ditambah dengan tumpuan ditunjukkan kerajaan dalam mengusahakan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup rakyat.
Sehubungan itu, Fuziah menyatakan harapan dengan penurunan kadar inflasi makanan tersebut akan memberi kesan kepada harga barangan mentah termasuk ayam, daging dan sayur-sayuran.
"Kita juga mendapat maklum balas harga sayur berada pada trend menurun berdasarkan maklumat dan maklum balas daripada pekebun sayur di Cameron Highlands.
"Maklum balas yang kita perolehi tidak semua sayur mahal, ada sayur-sayuran yang turun harga," katanya.
Sementara itu, Fuziah menyarankan orang ramai terutama suri rumah terus mengambil pendekatan bijak dalam berbelanja.
Pengguna jelasnya boleh memanfaatkan aplikasi PriceCather untuk membuat perbandingan harga.
"Aplikasi itu dapat membantu pengguna mendapatkan barangan pada kadar harga paling rendah dan pengguna mempunyai pilihan serta merancang perbelanjaan mengikut kemampuan dan keadaan kewangan mereka.
"Kita boleh tengok kedai mana yang menawarkan harga terbaik dan murah dan jika Menu Rahmah tidak sesuai kerana perlu memasak, mereka dapat membeli barangan lebih murah di PriceCatcher terbabit," katanya.