top of page

KPDN rangka cadangan subsidi gula bersasar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 26 minutes ago
  • 2 min read
Dr Fuziah merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Lotus’s Setia Alam, Selangor
Dr Fuziah merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Lotus’s Setia Alam, Selangor

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiapkan kertas cadangan penyasaran subsidi gula bagi memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.


Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kertas cadangan itu kini di peringkat akhir sebelum dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.


"KPDN sedang menyiapkan kertas untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Ia belum diluluskan, tetapi antara yang sedang diperincikan ialah langkah-langkah bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan pelaksanaan lebih berkesan," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Lotus’s Setia Alam hari ini.


Laporan media sebelum ini menyebut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi bagi beberapa barangan keperluan utama seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat.


Kata beliau, kajian menyeluruh sedang dijalankan bagi memastikan pelaksanaan tersebut tidak membebankan rakyat dan benar-benar memanfaatkan golongan yang layak menerima bantuan.


Dalam pada itu Fuziah memaklumkan mekanisme penyaluran minyak masak paket bersubsidi masih dikekalkan, dengan kuota sebanyak 60,000 metrik tan sebulan terus disalurkan ke pasaran tempatan.


"Minyak masak bersubsidi ini dipantau menerusi aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).


"Melalui sistem ini, rakyat boleh mengimbas kod QR untuk memastikan produk dibeli adalah minyak masak bersubsidi," jelasnya.


Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi mengelakkan ketirisan dan memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati subsidi berkenaan.


Pada 2024, kerajaan memulakan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan mengekalkan harga runcit RM2.15 seliter hanya kepada sektor pengangkutan awam dan logistik yang layak, manakala pengguna lain membayar harga pasaran sebenar.


Langkah itu turut disokong oleh penggunaan Fleet Card bagi kenderaan perdagangan serta sistem data Pangkalan Data Utama (PADU) untuk menapis penerima bantuan.


Seterusnya, mulai 1 Julai lalu, kerajaan memperluas dasar tersebut melalui pelaksanaan subsidi petrol bersasar BUDI95 yang mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter.


Program itu dilaksanakan menerusi platform BUDI Madani, di mana penerima layak menerima bantuan tunai bulanan bagi menampung perbezaan harga RON95 di pasaran.


Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan BUDI95 adalah sebahagian daripada strategi nasional bagi memastikan subsidi dinikmati 85 peratus rakyat Malaysia yang memerlukan, bukannya golongan kaya atau warga asing.


Di Malaysia, industri gula Malaysia yang dikawal ketat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ditetapkan harga siling runcit pada RM2.85 sekilogram (gula kasar) dan RM2.95 sekilogram (gula halus).


Harga gula Malaysia antara yang terendah di ASEAN berbanding Thailand, 1kg gula berharga RM3.91; Indonesia (RM5.74), Singapura (RM7.34) dan RM8.53 di Filipina.


Harga pasaran sebenar gula halus di Malaysia ialah RM3.95 sekilogram dengan kerajaan menanggung subsidi sekurang-kurangnya RM1 bagi setiap kilogram, dengan kos ditanggung sejumlah RM42 juta sebulan.


Laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Health Organization (WHO) memaklumkan bahawa kos penjagaan langsung (rawatan) untuk tiga penyakit tidak berjangkit utama (termasuk diabetes) di Malaysia melebihi RM9.65 bilion setahun (data asas 2017) dengan diabetes sahaja anggarannya ialah sekitar RM4.38 bilion setahun.


Kajian sistematik menyebut kos tahunan rawatan bagi penyakit diabetes di Malaysia sekitar $AS600 juta (RM 2.8 hingga RM3 bilion pada kadar tukaran tertentu).


Kajian terbaru (2024) tentang kos rawatan jenis 2 diabetes (T2D) menyebut bahawa bagi setiap pesakit, kos rawatan boleh berada dalam julat yang sangat besar — contohnya antara RM 12,494 hingga RM 41,250 sepanjang hayat rawatan, bergantung kepada jenis rawatan dan komplikasi yang berlaku.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page