KPDN rampas kepingan emas tidak tulen bernilai RM82,725
- Suara Keadilan

- Jan 19
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 3,545 keping logam emas bernilai RM82,725 selepas mendapati kandungan emas sebenar jauh lebih rendah daripada ketulenan yang diiklankan.
Bahagian Penguatkuasa KPDN memaklumkan, pihaknya telah mengadakan serbuan ke atas sebuah premis di Pusat Perniagaan Kuchai Lama yang menjual produk logam berharga melalui saluran media sosial.
"Pemeriksaan menggunakan peralatan X-Ray Fluorescence (XRF) mendapati syiling emas yang diiklankan sebagai emas tulen AU 999.9 hanya mengandungi kira-kira 77 peratus emas, selain kandungan yang tidak seragam antara 80 hingga 98 peratus bagi setiap kepingan.
"KPDN mendapati premis berkenaan bertindak sebagai pembekal kepada peruncit dalam talian, sekali gus menimbulkan syak pelanggaran standard ketulenan logam berharga di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730)," menurut kenyataan itu.
Susulan rampasan berkenaan, kes disiasat mengikut Seksyen 5(1)(a) akta sama, dengan beberapa peralatan serta dokumen turut disita bagi membantu siasatan.
"Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama," katanya.
Sehubungan itu, KPDN memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membuat perihal dagangan palsu.
Orang ramai pula digesa agar lebih berwaspada ketika membeli barangan emas serta menyalurkan aduan berkaitan penipuan perdagangan kepada KPDN melalui saluran rasmi.
"KPDN akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras amalan perniagaan yang mengelirukan dan menipu pengguna, khususnya melibatkan penjualan barangan logam berharga," kata kenyataan itu lagi.




Comments