KPDN peruntukan RM300,000 untuk PJRM Monsun di Kelantan
- Suara Keadilan

- Dec 18
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan RM300,000 untuk melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Monsun di Kelantan.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, ia sebagai langkah kesiapsiagaan dan intervensi segera Kerajaan MADANI untuk meringankan kos sara hidup rakyat yang terjejas akibat banjir di negeri itu.
"PJRM Monsun adalah langkah proaktif bagi memastikan penduduk terjejas terus mempunyai akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
"Pelaksanaannya bukan sahaja bertujuan meringankan beban perbelanjaan harian rakyat, malah memastikan kelangsungan serta kebolehcapaian bekalan keperluan asas," katanya dipetik.
Terdahulu, Dr Fuziah meninjau pelaksanaan PJRM Monsun di Tapak Futsal Kampung Neting, Tumpat Kelantan pada Rabu.
Program menawarkan barangan asas dengan penjimatan sehingga 30% berbanding harga pasaran kepada penduduk sekitar.
Sementara itu menurut Dr Fuziah, KPDN Kelantan mempertingkatkan pemantauan bekalan dan harga barangan di kawasan terjejas.
KPDN turut merancakkan inisiatif di bawah Payung Rahmah termasuk PJRM Bergerak ke kawasan pedalaman, PJRM Musim Perayaan sempena Krismas serta PJRM Kembali Ke Sekolah.
"Skuad Ihsan MADANI KPDN turut digerakkan bagi melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan terjejas banjir.
"KPDN akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara," tambahnya.









Comments