KPDN perluas Menu Rahmah ke HJT, ringan beban keluarga pesakit
- Suara Keadilan

- Sep 10
- 1 min read

Inisiatif Menu Rahmah @ Hospital diperluaskan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, menjadikannya hospital kedua di negara ini selepas Hospital Tuanku Fauziah di Perlis.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata, usaha memperkenalkan inisiatif itu di hospital bertujuan memastikan waris pesakit tidak terbeban.
"Tunggu waris di hospital selalunya makan masa berhari-hari. Ada yang seminggu, ada juga yang sampai sebulan.
"Dalam keadaan begitu bukan saja penat berjaga siang malam, tapi kos makan pun boleh jadi satu cabaran, lebih-lebih lagi bila duduk jauh dari rumah," katanya dipetik.
Terdahulu, Fuziah menyempurnakan Majlis Pelancaran Menu Rahmah @ Hospital di kafeteria HTJ pada Selasa.
Sementara itu menurut beliau, dengan harga berpatutan, inisiatif itu bukan hanya memberi manfaat kepada ahli keluarga pesakit malah petugas kesihatan boleh menikmati makanan sihat dan seimbang tanpa risau belanja yang tinggi.
KPDN turut memperluas inisiatif ini melalui Menu RAHMAH @ Bazar Ramadan RAHMAH, Menu RAHMAH @ Industri, Menu RAHMAH @ Institusi Pendidikan, serta advokasi berterusan menerusi Karnival KPDN dan Program MADANI Rakyat.
Sejak Januari 2023, lebih 3,106 premis makanan di seluruh negara telah menyertai Menu RAHMAH di bawah Payung RAHMAH Kerajaan MADANI.
"Inisiatif ini telah memberi peluang kepada golongan B40, pelajar, warga emas serta pekerja menikmati makanan seimbang dan sihat pada harga serendah RM5.
"Malaysia MADANI bukan sekadar slogan, tetapi sebuah gagasan yang menzahirkan Ihsan iaitu sikap belas kasihan dan kepedulian kerajaan kepada rakyat," ujarnya lagi.









Comments