KPDN perkukuh kerjasama tangani ketirisan diesel di Sarawak
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta agensi penguat kuasa bagi membanteras ketirisan diesel di negeri itu.
Timbalan Menteri KPDN Dr Fuziah Salleh berkata, operasi bersepadu agensi penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia dan Jabatan Kastam penting kerana KPDN tidak memiliki kuasa penguatkuasaan di sempadan dan perairan.
"Ketirisan subsidi tidak boleh ditangani secara bersendirian. Kerjasama pelbagai agensi penting untuk keberkesanan risikan dan rampasan
"Risikan, pemantauan serta tindakan rampasan akan berkesan apabila semua agensi bergerak secara seiring. Ketirisan bahan api bersubsidi tidak boleh ditangani secara bersendirian," katanya dipetik selepas sesi taklimat Op Tiris 2.0 di di Senari Synergy Independent Oil Terminal (IOT) di Kuching pada Ahad.
Dr Fuziah sementara itu memaklumkan, hingga 16 Mei ini, sebanyak 950 kes ketirisan bahan api dikesan di seluruh negara, dengan 187 kes di Sarawak, menjadikannya penyumbang terbesar dari segi nilai rampasan diesel.
"Angka itu membimbangkan, menunjukkan ketirisan di Sarawak agak statik berbanding penurunan ketara yang dilihat di Semenanjung selepas pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
"Justeru, KPDN memperhebat operasi pemantauan dan bekerjasama dengan pemilik stesen untuk mengekang aktiviti pembelian berulang atau mencurigakan," tambahnya.
Sementara itu, sebagai mengulas isu Gas Petroleum Cecair (LPG) pula beliau menjelaskan, bekalan di Sarawak tertakluk kepada Ordinan Pengedaran Gas Sarawak, dan hanya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan digunakan.
Justeru program Community Drumming akan diperluas bagi memastikan LPG sampai ke kawasan pedalaman tanpa menekan pengguna dengan kos logistik.