Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan langkah mewujudkan ‘Sistem Perlindungan Sosial Baharu’ di dalam negara, kata menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menurut Salahuddin ia antara sembilan perkara yang dilaksana KPDN dalam tempoh sebulan selepas beliau menjawat jawatan itu.
Selain sistem perlindungan tersebut, kementerian juga katanya telah mengambil langkah lain memastikan kepentingan pengguna terjamin, ia termasuklah dengan mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri minyak sawit dan simen tempatan.
Pihaknya juga turut turun padang ke beberapa premis perniagaan bagi melihat sendiri isu kekurangan barangan bersubsidi seperti telur ayam dan minyak masak tulen selain melancarkan Ops Terjah selama satu bulan bagi tujuan mengawal kestabilan bekalan dan harga barangan keperluan asas.
"Kita turut mengatur perancangan program baharu KPDN iaitu Bakul Rahmah melalui perbincangan bersama pemain industri seperti 99 Speedmart, Mydin, NSK dan Giant.
"Program baru 'Rezeki Suri' juga telah dicadangkan bersama libat urus dengan Dewan Perniagaan Islam Malaysia Kementerian, kita sedang meneliti pelaksanaannya dalam kadar segera,” kata Ahli Parlimen Pulai itu.
Tidak bersendirian dalam mendepani agenda besar menangani isu kos sara hidup, KPDN juga menjalankan sesi kerjasama di peringkat tertinggi kementerian lain iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Ekonomi.
"Sekretariat Tetap rentas kementerian juga telah diputuskan bagi melaksanakan segala dasar dan strategi kementerian yang terlibat dengan agenda kos sara hidup," tegas Salahuddin.
コメント