top of page

KPDN lancar Program PATUH, dorong budaya niaga beretika, telus

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 30
  • 2 min read
Datuk Fuziah pada pelancaran Program PATUH di R&R PLUS Seremban arah Selatan
Datuk Fuziah pada pelancaran Program PATUH di R&R PLUS Seremban arah Selatan

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh budaya pematuhan dan integriti dalam sektor perdagangan domestik menerusi pelancaran Program PATUH di R&R PLUS Seremban arah Selatan.


Timbalan Menteri KPDN, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata program itu merupakan langkah strategik kerajaan memastikan peniaga beroperasi mengikut undang-undang dan garis panduan ditetapkan.


"Program PATUH sebagai payung besar yang menaungi pelbagai inisiatif utama KPDN ke arah mewujudkan persekitaran perniagaan yang tersusun, beretika serta memberi perlindungan optimum kepada pengguna.


"Program ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perdagangan domestik, malah menggalakkan kawalan kendiri dalam kalangan peniaga terhadap undang-undang perdagangan secara menyeluruh dan berterusan," katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu menurut Dr Fuziah, bagi fasa pertama program, dua inisiatif utama iaitu Zon Persinggahan PATUH (ZPP) dan Pasar PATUH diperkenalkan sebagai projek perintis.


"Bagi pelaksanaan ZPP, 20 Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS di Negeri Sembilan, Selangor dan Perak akan terlibat fasa awal sebelum ia diperluas ke lebuh raya lain di seluruh negara.


"Pemilihan R&R kerana lokasinya sesuai dijadikan platform pendidikan pengguna serta model amalan perniagaan berintegriti dan patuh undang-undang.


"Manakala inisiatif Pasar PATUH bagi memperkukuh pematuhan peniaga pasar awam kepada penandaan harga yang jelas, penggunaan alat timbang yang tepat serta persekitaran perniagaan yang bersih dan teratur akan dimulakan di satu pasar awam di setiap negeri sebelum diperluaskan ke seluruh negara," tambahnya.


Menerusi kenyataan sama beliau menegaskan, pelaksanaan program itu turut mencerminkan semangat kerjasama rentas agensi antara kerajaan, industri dan pengguna dalam memastikan setiap inisiatif memberi impak tinggi dan dilaksanakan secara menyeluruh.


Beliau yakin dengan sokongan padu semua pihak, Program PATUH dijangka menjadi pemangkin transformasi perdagangan negara yang lebih berintegriti, telus dan mesra pengguna.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page