Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan Ops Pantau di seluruh negara bermula pada 12 Mac ini.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, langkah itu bagi memastikan tiada peniaga bazar Ramadan mengambil kesempatan menjual pada harga tidak munasabah menjelang musim puasa nanti.
"Kita berharap agar peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah," katanya pada waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Fuziah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu sama ada berlaku pemantauan serta tindakan tegas KPDN terhadap peniaga yang menaikkan harga di bazar Ramadan tahun ini.
Bagi pakej menu Rahmah, Fuziah berkata, setakat ini 40% peniaga di 60 lokasi Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara akan menawarkan menu Rahmah.
"Kerajaan akan memberi insentif kepada peniaga yang menawarkan Menu Rahmah sebanyak RM50.
"Selain itu, kita akan memberi inisiatif kepada pengunjung e-wallet RM20 dan di setiap lokasi ada RM2,000 e-wallet akan dikeluarkan untuk membantu pengunjung membeli," ujarnya lagi.
Comentarios