KPDN gubal Pelan Induk Perdagangan Pengedaran - Armizan
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Pelan Induk Perdagangan Pengedaran 2025-2035 sedang digubal dan dijangka akan dilancarkan selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan itu yang dibangunkan untuk tempoh 10 tahun bagi membantu produk tempatan menembusi pasaran peruncitan.
Ia juga bertujuan memastikan momentum perkembangan pertumbuhan positif sektor perdagangan pengedaran dapat diteruskan.
"Saya harap menerusi pelan ini, akan ada usaha untuk institusikan kerjasama untuk eratkan bukan hanya antara agensi kerajaan, tetapi pemain industri sektor peruncitan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"KPDN kini sedang dalam proses mendapatkan pandangan pihak berkepentingan dan pemain industri sektor peruncitan, menerusi beberapa sesi libat urus bersama Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha KPDN," katanya dipetik.
Armizan sebelumnya merasmikan Seminar Akses Pasaran Runcit dan Majlis Penghargaan Usahawan Sektor Peruncitan di Cyberjaya pada Khamis.
Sementara itu tambahnya, ketika ini kementeriannya telah melaksanakan Program Latihan Pembangunan bagi membantu usahawan PMKS lebih berdaya saing dan mampu membawa produk masing-masing menembusi pasaran peruncitan.
Sehingga tahun lepas jelasnya, seramai 420 usahawan telah terlibat siri latihan dengan 25 daripadanya berjaya menembusi pasaran peruncitan melibatkan 179 produk Unit Penyimpanan Stok (SKU).
"Selain itu KPDN turut melaksanakan inisiatif Local To Global Retails yang bertujuan membantu usahawan tempatan memasarkan produk bagi menembusi pasaran antarabangsa.
"Tahun lepas, sebanyak 65 syarikat dengan 275 produk SKU berjaya menembusi pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Jepun," tambahnya.
Comentarios