
Program Payung Rahmah bagi tujuan membantu golongan B40 mendepani isu kos sara hidup yang dijangka lebih serius tahun ini akan diperkenal kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, program itu akan fokus kepada keluarga B40 yang mempunyai ahli keluarga penghidap sakit kronik, ibu tunggal dan mereka yang benar-benar memerlukan.
"Program Payung Rahmah Kasih Sayang ini adalah inisiatif berfokus selama enam bulan yang menyentuh golongan B40 dan miskin tegar dan dengan ia dijangka dilaksanakan dalam tempoh 100 hari," katanya pada satu program di Parlimen Pulai. malam tadi.
Awal Januari lalu Salahuddin memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemain industri peruncitan antaranya Speedmart, Mydin, NSK, Giant bagi menjayakan inisiatif baharu itu.
Penerima inisiatif itu kelak akan menerima bantuan barangan keperluan asas antaranya minyak masak, tepung, gula dan beras secara bulanan.
Selain program Payang Rahmah, Salahuddin turut menjelaskan bahawa kementerian turut akan memperkenal beberapa program lain bagi memperluas usaha meringankan kos sara hidup rakyat. Ia antaranya Kafe Rahmah, Jualan Murah Rahmah dan Barangan Rahmah.
"Kita juga ada Barangan Rahmah iaitu pakej 10 barangan asas yang dijual pada harga lebih rendah untuk golongan B40 selain Kafe Rahmah yang khusus bagi pelajar universiti mendapatkan makanan pada harga lebih murah.
"Perincian Jualan Murah Rahmah akan diumumkan lebih lanjut pada Selasa ini
"Di samping itu, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sentiasa diadakan dari masa ke semasa sekali gus membuktikan betapa serius kerajaan mahu mendepani isu kos sara hidup dihadapi rakyat," tambahnya.