
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi penganjuran Bazar Ramadan Rahmah.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihak kementerian bakal mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri membincangkan perancangan itu.
Melalui inisiatif baharu itu jelasnya, PBT akan memperkenalkan kadar sewa Rahmah bagi setiap tapak di bazar berkenaan.
"Fokus kita adalah Bazar Ramadan dan perbincangan akan diadakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemain industri yang berminat untuk menyertainya," katanya di majlis pelancaran Inisiatif Payung Rahmah dan Cabaran ‘Beli & Menang RM1.1 juta’ di KK Super Mart Terminal Bersepadu Selatan pada Rabu.
Sementara itu Salahuddin turut beliau berkata pihak kementerian turut bersedia menjadi pemudahcara bagi mana-mana peniaga dan penjaja yang belum atau sukar mendapatkan permit, ataupun lesen perniagaan.
"Sekiranya mereka ini memerlukan bantuan contohnya dapatkan permit atau lesen dari pihak PBT atau bandaraya, mereka boleh datang kepada kita dan kita akan cuba bantu.
"Kepada peniaga sedia ada, sekiranya hadapi masalah, kita terbuka untuk mengetengahkan perkara ini kepada mana-mana wakil kementerian supaya kita dapat bantu mereka selesaikan masalah berkenaan," katanya menjawab pertanyaan pemberita.