Kota MADANI pembangunan untuk rakyat, tidak perlu ditangguh - Dr Taufiq
- Suara Keadilan
- 20 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Isu pembangunan Kota MADANI tidak wajar dijadikan senjata oleh pembangkang menyerang Kerajaan Madani.
Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Dr Taufiq Johari, Kota MADANI di Putrajaya bukan dibangunkan sebagai projek mega untuk dijadikan legasi kepada pemimpin tertentu sebaliknya kawasan perumahan itu merupakan kuaters untuk kakitangan kerajaan.
Oleh itu, katanya, Kota MADANI adalah pelaburan strategik dan pembinannya menggunakan konsep Bina, Sewa, Selenggara, Pindah Milik (BLMT) yang mana pelabur akan menanggung kos pembinaan RM4 bilion juga kos penyelenggaraan. Selepas 25 tahun, baharulah keseluruhan projek tersebut akan jadi milik Kerajaan.
''Kita perlu berani membina masa depan, bukan sekadar mengekalkan status quo.

''Kerajaan tidak membina mercu tanda semata-mata, tetapi menyediakan ekosistem ekonomi baharu yang memberi manfaat jangka panjang.
''Kerajaan juga kekal komited untuk membela rakyat, memperkukuh ekonomi, dan membangunkan negara dengan hala tuju yang lestari dan inklusif,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai reaksi balas terhadap kenyataan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkenaan pembinaan projek Kota MADANI tersebut.
Afnan semalam dilaporkan menggesa kerajaan menghentikan cadangan pembinaan Kota MADANI memandangkan hutang negara yang semakin melebar dan keadaan ekonomi rakyat yang kian terhimpit.
Mengulas hal itu, Dr Taufiq menambah, Kerajaan MADANI tidak mengulangi kegagalan seperti yang berlaku di Kedah dan Kelantan di bawah pentadbiran Pas yang menyebabkan ekonomi rakyat di sana terhimpit.
Katanya, walaupun pengumuman pelaburan dibuat di kedua negeri berkenaan namun ianya gagal dilaksanakan kerana tidak menyediakan asas ekonomi kukuh, dan mengabaikan infrastruktur asas yang menjadi asas menarik pelabur.
''Kerajaan MADANI sentiasa meletakkan keutamaan rakyat di posisi tertinggi. Tuduhan bahawa kerajaan mengabaikan pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat adalah tidak tepat.
''Belanjawan 2025 membuktikan keutamaan kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat melalui peningkatan Peruntukan Pendidikan lebih RM58 bilion (peningkatan berbanding tahun lalu).
''Peruntukan kesihatan turut meningkat lebih RM41 bilion dan Bantuan tunai terus (STR, SARA) turut dinaikkan bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
''Kerajaan bekerja secara seimbang membela rakyat marhaen, melaksanakan reformasi fiskal, dan pada masa sama melabur untuk masa depan negara,'' ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.
Untuk rekod, Kota MADANI merupakan projek pembinaan 10,000 unit kediaman yang dijangka mampu menampung lebih 30,000 penduduk.
Bangunan di kota tersebut direka bentuk dengan pendekatan menegak berketumpatan tinggi untuk mengoptimalkan ruang dan meminimumkan jejak karbon.
Projek didirikan di kawasan seluas 102 ekar di Putrajaya, selain dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya pada setiap unit rumah dan bangunan.
Comments