top of page

Kota Madani model bandar pintar, latih 40,000 penjawat awam kuasai AI

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 18
  • 2 min read

DS Anwar meneliti model bandar pintar pada Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL 2025) di Kuala Lumpur
DS Anwar meneliti model bandar pintar pada Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL 2025) di Kuala Lumpur

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembangunan kota pintar berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan prinsip MADANI menjadi mercu tanda baharu dalam transformasi digital negara.


Perdana Menteri berkata, projek perintis Kota MADANI di Putrajaya akan dijadikan model awal sebelum dikembangkan ke kawasan lain termasuk cadangan penubuhan sebuah bandar baharu di Cheras yang lebih fleksibel kerana tidak terikat dengan infrastruktur lama.


"Smart city (bandar pintar) bukan sekadar soal teknologi tetapi mesti dibangunkan dengan identiti, nilai dan budaya masyarakat.


"Jika tidak, pembangunan hanya tinggal sebagai konkrit tanpa jiwa," katanya dipetik ketika menyampaikan ucaptama pada Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.


Dalam ucapannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelaksanaan Program Pendidikan Teknologi Abad ke-21 hasil kerjasama Digital Nasional Berhad bersama Ericsson bagi melatih lebih 40,000 penjawat awam di semua peringkat dengan kemahiran dalam bidang AI, sains data dan tadbir urus digital.


Beliau berkata latihan ini penting agar pelaburan dalam infrastruktur digital bernilai tinggi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan produktiviti sektor awam.


Perdana Menteri menjelaskan pembangunan bandar pintar antara lain akan membantu menurunkan kos hidup melalui penggunaan teknologi AI dalam pengurusan tenaga, air dan sisa.


Ia juga diyakini dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam termasuk respons bencana berasaskan teknologi, di samping memperkukuh keselamatan siber, menjamin privasi dan memastikan etika AI tidak dikompromi, ujarnya.


Kata beliau kerajaan menekankan bahawa inovasi digital mesti seiring dengan nilai kemanusiaan, kelestarian dan kepelbagaian budaya agar tidak wujud jurang yang menjadikan kota hanya sebagai “hutan konkrit tanpa roh”.


"Pembangunan akan jadi sia-sia jika kita bangun tidur di kota yang tidak lagi mencerminkan budaya kita sendiri," tegasnya.


Menurut Anwar, Malaysia kini mempunyai asas kukuh dengan liputan 5G yang sudah mencapai 82.4 peratus kawasan berpenduduk dan dijangka meningkat kepada 98 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13.


Dalam hal ini, beliau berkata kerajaan turut menyokong lebih banyak penyelesaian tempatan melalui syarikat rintis teknologi di bawah inisiatif Malaysia Digital (MDEC) agar negara tidak terlalu bergantung kepada teknologi luar serta memastikan kedaulatan data terjamin.


"Sebuah kota mesti dibina untuk rakyat, berfungsi demi kesejahteraan rakyat dan dipacu oleh perusahaan kita sendiri.


"Kota AI atau smart city mesti diperkasa dengan kepakaran tempatan, platform dan penyelesaian yang lahir daripada keperluan serta nilai kita.


"Jika kita mampu menggembleng inovasi dan bakat tempatan, maka kita boleh mengurangkan pergantungan kepada teknologi luar serta memastikan pembangunan benar-benar mencerminkan wajah Malaysia," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page