top of page

Kota MADANI bukan projek gedung besar, mega - Dr Zulkifli

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 2
  • 2 min read

PM Anwar, Menteri Wilayah Dr Zaliha dalam majlis pelancaran projek Kota MADANI. Foto FB Anwar
PM Anwar, Menteri Wilayah Dr Zaliha dalam majlis pelancaran projek Kota MADANI. Foto FB Anwar

Oleh: Akmal Manaf


Projek Kota MADANI tampil sebagai inisiatif pembangunan bersepadu yang bukan sahaja menyediakan keperluan perumahan, malah merangkumi pelbagai kemudahan asas seperti sekolah, masjid, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pusat kesihatan, balai polis dan bomba sekali gus memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.


Demikian gambaran diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan mengenai aspirasi dan matlamat di sebalik pelaksanaan projek berkenaan.


Setelah meneliti dan mengumpul maklumat berkaitan, beliau berkata, projek itu sepatutnya diberikan sokongan penuh kerana manfaatnya yang menyeluruh kepada masyarakat.


''Ia bukan projek Putrajaya baharu mahupun projek mega gedung besar, tetapi secara khusus bertujuan menyediakan kemudahan asas dan memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.


''Ia juga memenuhi ciri mesra alam sekitar, jimat tenaga, infrastruktur digital dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ciri-ciri keselamatan yang baik.


''Konsep dan visi Kota MADANI adalah sangat baik dan selaras dengan falsafah MADANI itu sendiri,'' katanya dalam kenyataan.


Tambah beliau, sebelum ini kemudahan asas khususnya masjid dan sekolah sering kali tiada dalam perancangan awal atau sekadar diletakkan di fasa terakhir projek perumahan yang memerlukan penduduk mencari dana untuk membinanya.


Katanya, dengan adanya kemudahan yang lengkap di kawasan kediaman, penduduk tidak lagi perlu memandu jauh untuk menghantar anak ke sekolah atau ke masjid seperti yang berlaku pada waktu ini.


Keadaan itu ujarnya sudah tentu memberi ketenangan kepada ibu bapa, khususnya dari aspek keselamatan anak-anak.


''Mahu tidak mahu, rakyat Malaysia yang semakin bertambah memerlukan perumahan dan kemudahan asas yang baik memenuhi keperluan kehidupan seperti persekolahan, kerohanian, rekreasi, ekonomi dan lain-lain.


''Bayangkan jika projek perumahan dan pembangunan di seluruh negara menggunakan model dan konsep MADANI ini.


''Ia akan banyak memberi manfaat kepada penduduk dan komuniti Malaysia dan mana-mana pihak yang mengaplikasikan model itu,'' katanya lagi.


Bagaimanapun, selepas memberi pandangannya tentang Kota MADANI, Dr Zulkifli memahami bahawa pasti akan ada pihak yang mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara tersebut.


Beliau menyifatkan, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam kalangan manusia, namun adab dan akhlak dalam menyuarakan pendapat perlu sentiasa dipelihara dan diamalkan dengan sebaik-baiknya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page